fb fb fb fb fb

Penemuan sisa sarung tangan getah terpakai, JAS Kedah laksana siasatan

Foto RTM

KULIM, 18 Ogos- Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kedah menjalankan siasatan terhadap penemuan satu tan metrik dipercayai sisa sarung tangan getah terpakai bersama bahan-bahan lain di sebuah tapak binaan kilang di Kulim, Kedah.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab menerusi kenyataan berkata siasatan dijalankan bermula pada Sabtu berdasarkan aduan sebuah syarikat perunding yang menjalankan kajian teknikal  di tapak tersebut.

Katanya, aduan diterima menerusi e-mel pada Jumaat lalu.

"Penyiasatan dan persampelan buangan selama enam jam bermula pada pukul 9.00 pagi tadi. Sampel-sampel berlainan jenis komposisi diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia cawangan Pulau Pinang untuk dianalisis," kata kenyataan itu.

Tindakan lanjut akan diambil setelah keputusan analisis diterima.

Kes akan diserahkan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) dan pihak Taman Teknologi Tinggi Kulim, sekiranya buangan adalah sisa pepejal.

Jika tercemar dengan buangan terjadual, kes akan diambil tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM