TAIPING, 20 Januari - Penemuan fosil karang purba berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang, Kampar adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara.
Sehubungan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penemuan itu akan diserahkan sepenuhnya kepada jabatan berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
"Biasanya Jabatan Warisan akan masuk terlebih dahulu dia akan pagar dan dia akan nilai umurnya berapa dia akan nilai warisan itu, kalau betul berlaku jabatan warisan akan masuk," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping, di sini.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) menjumpai fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar.