fb fb fb fb fb

Penempatan Israel di Palestin tidak sah - ICJ

Foto AFP

PUTRAJAYA, 20 Julai- Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin.

Keputusan mahkamah disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki pada Jumaat.  

Kementerian Luar berkata keputusan ICJ itu mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang telah dibentangkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa di mahkamah berkenaan 22 Februari lepas. 

"Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan ICJ serta segera menghentikan segala sokongan mereka kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di Palestin.

"ICJ dengan majoriti yang amat besar telah memutuskan bahawa pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan dengan segera.

"Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan," menurut kenyataan itu. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM