Penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 5,141 orang

Dewan Terbuka Paitan turut ditenggelami air banjir/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 22 Februari – Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 5,141 orang daripada 2,160 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 4,761 orang daripada 1,828 keluarga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 5,141 orang daripada 2,160 keluarga di Sabah.
  • Empat daerah terlibat: Pitas, Kota Marudu, Paitan dan Tawau.
  • 27 pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.
  • 80 kampung terjejas, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan kesemua penduduk terjejas dari empat daerah, iaitu Pitas, Kota Marudu, Paitan dan Tawau ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara.

Tawau dilanda banjir malam tadi susulan hujan berterusan, sekali gus menjadikan daerah berkenaan kawasan terbaharu yang terjejas akibat bencana itu.

Pitas merekodkan penduduk terjejas tertinggi, iaitu 2,120 orang diikuti Kota Marudu (1,929 orang), Paitan (847 orang) dan Tawau (245 orang)

Banjir di keempat-empat daerah menjejaskan 80 kampung, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.