MERLIMAU, 6 Mac- Jumlah penduduk terjejas banjir di Melaka dijangka terus meningkat, jika hujan berterusan melanda negeri itu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA), Kamarulsyah Muslim berkata ia berikutan amaran paras air pasang di negeri itu berada pada tahap waspada selain MetMalaysia meramalkan hujan dan ribut petir melanda esok.
Jelas Kamarulsyah, pihaknya telah bersiap siaga dengan apa jua situasi yang bakal berlaku.
"Kalau sekiranya hujan lebat dan berterusan lebih tiga jam di beberapa kawasan lagi, yang lain ada kemungkinan lah.
Kita akan buka PPS, ada kemungkinan. APM memang sudah bersedia untuk digerakkan membantu pemindahan mangsa dan lain-lain keperluan di PPS," kata Kamarulsyah kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin melawat penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Dang Anum, Merlimau Jasin.
Setakat pukul 4.00 petang, sebanyak empat PPS dibuka di Melaka dengan menempatkan seramai 225 penduduk terjejas banjir.
Dua PPS di buka di daerah Jasin dan dua lagi di daerah Melaka Tengah.
PPS di Daerah Jasin adalah PPS SMK Dang Anum menempatkan 150 penduduk terjejas daripada 46 keluarga dan PPS SMK Dato' Abdul Rahman dengan 19 penduduk daripada enam keluarga.
Di Melaka Tengah, PPS SJK (C) Malim menempatkan 23 penduduk terjejas daripada lima keluarga dan SK Seri Duyong menempatkan 33 penduduk terjejas daripada lapan keluarga.