PASIR PUTEH, 21 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat apabila seramai 321 orang daripada 81 keluarga dipindahkan keenam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) membabitkan tiga daerah di negeri itu iaitu di Pasir Puteh, Bachok dan Machang.
Menurut Portal InfoBencanaBanjir JKM, setakat pukul 11 malam tadi, jumlah penduduk terjejas banjir di PPS SK Dalam Rhu paling ramai dipindahkan di daerah Pasir Puteh apabila 197 penduduk terjejas banjir daripada 52 keluarga dipindahkan setakat ini.
PPS SK Pak Roman menjadi PPS terbaru dibuka di daerah Machang malam tadi dengan lima penduduk terjejas banjir dipindahkan melibatkan satu keluarga.
Berdasarkan Laman Web Rasmi public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, setakat pukul 11 malam tadi, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Jambatan Melor, Bachok merekodkan aras air melebihi tahap Waspada.
Sementara itu, di Kuala Terengganu setakat 10 malam tadi, jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu semakin meningkat kepada 4, 476 berbanding 3, 917 pada 8 malam tadi.
Sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, dalam kenyataannya berkata enam daerah direkodkan iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Setiu, Besut dan Dungun.
Daerah Kuala Nerus terus mencatatkan penduduk terjejas paling tinggi iaitu seribu 486 diikuti Marang seribu 227 , Kuala Terengganu 1,095, Besut 637, Dungun 23 Dan Setiu 8 penduduk.
Manakala 1,170 keluarga ditempatkan di 31 PPS bagi enam daerah terlibat.