ALOR SETAR, 21 Disember – Keputusan kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 turut melegakan penduduk Kedah, terutama mereka yang baru sahaja ditimpa musibah banjir.
Ini reaksi penduduk di sekitar kawasan Alor Setar ketika ditemui RTM hari ini.
"Saya sebagai rakyat Malaysia berterima kasih kepada Kerajaan Madani kerana tarif elektrik tidak dinaikkan. Kami baru sahaja ditimpa banjir, banyak peralatan rosak. Jadi, ini sangat membantu," kata Abdul Karim Din.
Penduduk kawasan Anak Bukit, Mohd Ali Ariffin, turut bersetuju dengan keputusan tersebut.
"Ini betul-betul membantu rakyat terutama yang memerlukan, terutamanya di kawasan bencana seperti kami," katanya.
Pengerusi sebuah persatuan, Datuk Abdul Muthalib Harun, turut memuji langkah kerajaan bagi meringankan beban golongan B40.
"Keputusan ini membolehkan rakyat menggunakan wang untuk keperluan keluarga mereka. Ini satu bentuk keprihatinan Kerajaan Madani terhadap masyarakat, khususnya golongan B40," jelas beliau.
Seorang usahawan, Norafiza Aziz, juga meluahkan rasa lega dengan keputusan tersebut.
"Bagus kerajaan kekalkan kadar elektrik sekarang. Peruntukan ini boleh disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan," katanya.
Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.
Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing.