KUALA LUMPUR, 28 Januari - Empat negeri masih terjejas banjir melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Banjir di KELANTAN hampri pulih apabila penduduk terjejas terus menurun kepada 43 orang, setakat pukul 10 malam tadi.
Kesemua mereka berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sk Lalang Pepuyu di Tanah Merah.
Sementara itu, sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan masih melebihi paras bahaya.
Di DUNGUN TERENGGANU, penduduk terkesan merekodkan sedikit peningkatan.
Seramai 1,324 individu ditempatkan di 12 PPS, merekodkan peningkatan berbanding 1, 300 orang setakat 8 malam tadi.
Ketika ini dua PPS menempatkan penduduk paling ramai iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Masjid Jamek Kampung Jongok Batu, dengan masing-masing 258 orang.
Di PAHANG, Setakat pukul 11 malam, penduduk terjejas kekal 28 orang melibatkan daerah Rompin.
Menurut portal Infobencana JKM, kesemua mereka kini berlindung di Balairaya Kg Rekoh dan SK Buluh Nipis.
PPS SMK Sungai Lembing di Kuantan ditutup sepenuhnya pada pukul 3 petang tadi.
Di JOHOR BAHRU, jumlah penduduk terjejas di Kota Tinggi dan Mersing, kekal 235 orang di dua PPS.
Kesemua penduduk terjejas berlindu di Kompleks Taman Negara Endau Rompin dan di PPS Sekolah Kebangsaan Mawai.
Sementara itu, Jalan di Lingkaran Kahang Barat, Kluang; serta Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi; masih ditutup kepada semua kenderaan.