KUALA LUMPUR, 1 Julai– Penduduk Taman Sri Sinar, Segambut menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di kawasan mereka yang padat dengan penduduk.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan, Yap Yee Vonne, aduan berkaitan keadaan longkang dan jalan itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa pada Mac 2025, sebelum disusuli lawatan tapak bersama DBKL.
Hasilnya, pada Mei lalu, kerja-kerja naik taraf mula dijalankan meliputi pembaikan longkang, laluan pejalan kaki, jalan utama serta penyediaan empat petak parkir baharu untuk kemudahan penduduk.
"Kami ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana mendengar dan bertindak segera terhadap keperluan di kawasan ini," katanya ketika mengadakan tinjauan di Taman Sri Sinar di Segambut.
Sementara itu, pejabat Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut memaklumkan bahawa fokus utama pihaknya adalah memastikan kemudahan infrastruktur di kawasan parlimen tersebut disediakan secara menyeluruh dan efisien.
Penduduk Taman Sri Sinar, Wenda Ngoh menyambut baik penyediaan petak parkir baharu yang banyak membantu mengatasi masalah kekurangan parkir di kawasan itu.
"Terima kasih kepada pejabat YB Hana dan pasukan DBKL. Sekarang senang nak parkir, tak perlu lagi susah-susah cari tempat," katanya.
Projek itu dianggap sebagai satu lagi langkah positif dalam menambah baik kesejahteraan penduduk bandar, selari dengan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat.