fb fb fb fb fb

Penduduk sambut baik Program Jualan Daging Lembu Termurah UMNO Kangar

Program Jualan Daging Termurah berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Perlis

KANGAR, 23 Mac - Lebih 1,000 penduduk di sini, tidak melepaskan peluang mendapatkan daging serta tulang lembu segar pada harga murah, hasil inisiatif UMNO Bahagian Kangar menerusi Program Jualan Daging Lembu Termurah.
 
Program itu menyediakan sebanyak lima ekor lembu untuk dijual, dengan harga RM20 sekilogram untuk daging dan tulang yang jauh lebih murah dari harga pasaran iaitu RM30 sekilogram ketika ini. 

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya,  program kali kedua itu dilaksanakan selepas mendapat sambutan baik dari masyarakat pada penganjuran tahun lalu.
 
"Sebanyak enam ekor lembu disediakan yang mana lima ekor untuk jualan daging dan tulang, manakala seekor lagi khas untuk majlis berbuka puasa dan moreh bersama masyarakat setempat. 
 
"Inisiatif pelaksanaan program ini bagi meraikan dan memberi kegembiraan buat orang ramai dalam melakukan persediaan untuk menyambut Aidilfitri serta membantu mengurangkan impak kenaikan harga bekalan daging dan tulang segar," kata Dr Fathul.
 
Beliau bercakap kepada pemberita dalam Program Jualan Daging Termurah di perkarangan Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis. 
 
Program dijayakan UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, Angkatan Tentera Malaysia Dan Pertubuhan Anak JATI Perlis bersempena Sambutan Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Ke-73.

TETITIA YUSOFF