KUBANG PASU, 13 Julai – Penduduk di sepanjang Sungai Korok menyambut baik usaha kerajaan untuk menyegerakan penambahbaikan infrastruktur dan pemasangan lampu jalan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan di laluan utama Sungai Korok–Jitra.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E2 Kubang Sepat, Abdul Halim Salleh, kerja-kerja penambakan semula tanah di tepi laluan tersebut juga wajar dipertimbangkan susulan pembinaan tembok penghadang sebelum ini.
“Tembok setinggi empat meter pernah dibina dua tahun lalu bagi menghalang air sungai melimpah ke jalan raya. Tapi kemudian ia dibuang atas sebab yang saya sendiri tidak pasti. Mungkin atas alasan penyelenggaraan atau saliran, tapi pada pandangan saya tak ada masalah kalau kita tambak semula, dua dalam satu, perbelanjaan pun tak banyak,” katanya.
Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Alor Biak, Sungai Korok, turut memaklumkan bahawa lebih 2,800 ahli PPK E2 MADA bergantung kepada laluan itu bagi aktiviti pertanian, khususnya penanaman padi.
Sementara itu, penduduk setempat, Mohamad Rudzi Samsudin, berpendapat pembinaan pagar penghadang wajar difokuskan kepada lokasi-lokasi berisiko tinggi dan bukan secara menyeluruh.
“Tak perlu pasang pagar di semua tempat. Fokus pada kawasan yang kerap berlaku kejadian agar lebih berkesan,” ujarnya.
Sebagai langkah awal, tiang amaran sementara telah mula dipasang di beberapa lokasi sepanjang Jalan Sungai Korok, Jitra, sementara menunggu cadangan pembinaan pagar tetap direalisasikan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menyatakan bahawa cadangan penambahbaikan infrastruktur itu akan dibawa ke perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tindakan susulan demi keselamatan penduduk di kawasan terlibat.