
GUA MUSANG, 11 Januari – Lebih 1,500 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, di sini, hidup dalam kebimbangan apabila kawanan gajah liar kerap memasuki kawasan penempatan mereka.
- Kira-kira 20 ekor gajah liar menceroboh kampung, merosakkan tanaman dan kediaman penduduk.
- Lebih 1,500 penduduk RKT KESEDAR Chalil hidup dalam kebimbangan akibat gangguan berulang.
- Penduduk telah membuat aduan kepada PERHILITAN namun belum ada penyelesaian berkesan.
- Permintaan untuk rondaan berkala, kawalan, pemantauan dan pemindahan gajah bagi melindungi nyawa serta harta.
Dalam kejadian terbaharu, antara pukul 9.00 malam hingga 4.00 pagi semalam, dianggarkan kira-kira 20 ekor gajah liar menceroboh kampung berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan terhadap pelbagai tanaman serta kediaman penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil, Hasan Saleh, berkata penduduk sebelum ini telah beberapa kali membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) , namun setakat ini masih belum ada penyelesaian berkesan.
Menurutnya, penduduk berharap agar langkah segera dan berkesan dapat diambil, termasuk kawalan, pemantauan berterusan serta tindakan pemindahan gajah bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda penduduk terjamin.
“Saya berharap pihak PERHILITAN dapat menjalankan rondaan secara berkala supaya masalah gajah liar ini dapat dikawal. Penduduk kampung di sini kebanyakannya golongan susah dan mereka amat bimbang dengan kehadiran gajah. Apabila gajah menceroboh kawasan penempatan, pokok kelapa musnah, rumah ditolak, manakala tanaman di belakang rumah habis rosak,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Arif Ismail @ Adnan, berkata kawanan gajah liar kini semakin berani apabila menghampiri kawasan rumah, bukan sekadar berada di ladang seperti sebelum ini.
“Dalam kejadian semalam, sekitar 20 ekor gajah dilaporkan menghampiri kediaman penduduk sehingga hampir merempuh dinding rumah, sekali gus meningkatkan kebimbangan penduduk setempat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zaid Yaacob, berkata kejadian gajah menceroboh kampung berlaku antara tiga hingga empat kali sebulan dengan jumlah haiwan yang besar dan bergerak secara berpecah.
“Kebanyakan rumah peneroka terletak berhampiran ladang menyebabkan kawasan belakang rumah sering menjadi sasaran gajah liar, manakala penduduk hanya mampu menghalau haiwan berkenaan secara manual tanpa peralatan khusus,” kata Zaid.