fb fb fb fb fb

Penduduk Negeri Sembilan digesa tidak lakukan pembakaran terbuka

Foto Hiasan/ Foto RTM

SEREMBAN, 21 Mac - Kerajaan Negeri Sembilan menggesa penduduk di negeri berkenaan agar menghentikan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri tindakan berkenaan akan memburukkan lagi cuaca.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun terdapat empat daerah di negeri berkenaan yang berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas mengalami hari tanpa hujan antara 10 hingga 13 hari sepanjang cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Jelas Aminuddin, daerah yang terjejas adalah Seremban, Kuala Pilah, Jelebu, Rembau dan Tampin selepas merekodkan suhu maksimum harian sebanyak 35 darjah celsius hingga 37 darjah celsius tiga hari berturut-turut.

"Kita kena ingat bahawa tempoh keadaan kering ini agar kita dapat menghentikan pembakaran terbuka.

"Ini ekoran keadaan sekitar telah memenuhi kriteria penghadaman pembakaran terbuka beberapa daerah tersebut.

"Tetapi saya rasa di semua daerah perlu menghentikan pembakaran terbuka. Sebab kalau.kita bakar asap-asap itu akan ke kawasan-kawasan yang lain yang akan memburukkan lagi suasana ataupun cuaca kita", kata Aminuddin yang ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri

Tambahnya, Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah celsius berterusan di beberapa tempat di Negeri Sembilan sepanjang bulan Mac sehingga pertengahan April 2024.

Aminuddin bagaimanapun menjelaskan keadaan itu idak menjejaskan empangan di negeri itu serta air sungai di negeri tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD