fb fb fb fb fb

Penduduk Mukim Rong Chenok bina titi buluh sendiri

Penduduk Mukim Rong Chenok bina titi buluh sendiri bagi menggantikan jambatan konkrit yang runtuh akibat banjir

PASIR MAS, 7 Januari - Penduduk Mukim Rong Chenok di sini mengambil inisiatif membina titi sementara sepanjang 100 meter menggunakan buluh bagi menggantikan jambatan konkrit yang runtuh akibat banjir pada 28 November lalu.

Imam muda Masjid Mukim Rong Chenok, Mohd Zahir Johari, berkata titi tersebut dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung sejak 3 Januari lalu dan kini 80 peratus siap.

"Tujuan utama titi sementara ini adalah untuk menyediakan laluan sementara, terutamanya bagi anak-anak ke sekolah dan guru yang mengajar di kawasan ini. Ia juga membantu penduduk menjalankan aktiviti harian tanpa perlu melalui jalan jauh," katanya ketika ditemui RTM.

Dari tinjauan RTM, titi itu dibina bagi merentasi sungai yang dipenuhi rumput tebal dan tidak sesuai dilalui kenderaan termasuk motosikal.

Buluh itu disumbangkan oleh penduduk perkampungan Siam secara percuma, demi kemudahan komuniti setempat.

Katan Zahir, apabila siap, titi tersebut dijangka memendekkan perjalanan yang sebelum ini mengambil masa sehingga satu jam untuk ke sekolah, kebun, dan klinik kesihatan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Rong Chenok, Anwar Yahya, berkata pembinaan titi itu melibatkan penduduk dari pelbagai peringkat umur termasuk lelaki dan wanita.

"Walaupun titi ini membantu memudahkan perjalanan, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka kerana titi ini hanya sesuai untuk laluan pejalan kaki. Kami berharap jambatan kekal dapat dibina segera demi keselamatan penduduk," katanya.

Jambatan yang merentasi Sungai Lemal itu menghubungkan Kampung Chandang, Kampung Joh, Kampung Pok Kelong, Kampung Rong Chenok, Kampung Banggol Kuching, Kampung Mahligai, Kampung Anak Machang, Kampung Hutan Petai, Kampung Jelor dan Kampung Sungai Keladi.

GRACE AISYAH KEDAYAN