GUA MUSANG, 10 September - Lebih seribu penduduk Orang Asli di Pos Balar, di sini, lega apabila sebuah jambatan gantung baharu siap dibina bagi memudahkan perjalanan mereka.
Penghulu Kampung Perawas, Pos Balar, Osman Anjang berkata, jambatan gantung baharu itu adalah laluan utama penduduk Pos Balar untuk melakukan aktiviti harian termasuk menghantar anak ke sekolah.
Menurut Osman, sebelum ini penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong, selepas jambatan asal terputus akibat dihanyut arus Sungai Balar, sejak 9 Mac lalu.
"Terima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang membantu untuk bina jambatan. Saya mewakili masyarakat mengucapkan terima kasih.
"Sekarang ni jambatan gantung besi. Sesuai untuk laluan motosikal. Kalau dulu jambatan sementara sudah dua kali hanyut," katanya.
Turut berterima kasih kepada Kerajaan MADANI, penduduk Pos Balar, Aja Along.
"Semua penduduk Pos Balar berterima kasih kepada Kerajaan MADANI, JAKOA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, kerana telah meluluskan jambatan. Sekarang ni sangat mudah kita nak keluar beli barang. Sangat mudahlah sekarang," katanya.
Bagi Ahmadi Jalil Biyor, jambatan baharu itu memudahkan anak-anak mereka terutamanya pelajar sekolah untuk berulang-alik dari rumah ke sekolah.
"Kerana kalau tanpa jambatan yang seperti sedia ada ia akan menyukarkan penduduk sekitar dan warga Sekolah Kebangsaan Balar. Jambatan tersebut salah satu kemudahan kepada murid sekolah untuk berulang alik dari kampung atau dari rumah ke sekolah. Ia memang amat penting untuk anak sekolah dan kami penduduk setempat," katanya.
Sementara itu, jurucakap JAKOA Kelantan dan Terengganu, mengesahkan jambatan gantung itu dibina sejak 25 Jun lalu telah siap kira-kira sebulan lebih awal iaitu pada 7 September lepas dan boleh digunakan sepenuhnya.
"Panjang jambatan gantung itu lebih 1.2 meter dan kos pembinaannya ialah RM350,000 oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi JAKOA.