fb fb fb fb fb

Penduduk Kampung Pulau 3 Sungai Petani, ditawar Flat Perumahan Awam


ALOR SETAR, 6 Januari - Penduduk Kampung Pulau 3 Sungai Petani ditawarkan Flat Perumahan Awam di Paya Nahu di Sungai Petani untuk dijadikan penempatan baharu mereka.

Mereka sebelum ini diusir daripada penempatan mereka ekoran pemilik tanah swasta  telah mendapatkan perintah mahkamah agar penghuninya mengosongkan tanah terbabit dengan segera.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penduduk berkenaan boleh berpindah dalam masa terdekat.

23 keluarga tersebut boleh berpindah segera ke rumah pangsa berkenaan, manakala 7 lagi memerlukan sedikit masa kerana Kerajaan Negeri akan membuat pembaikan.

Kos pembaikan yang berjumlah RM150,000 akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat Exco pada Rabu.

"Kerajaan semalam dalam mesyuarat Exco telah membuat keputusan untuk menawarkan kepada 30 penduduk terbabit iaitu penempatan di Flat Perumahan Awam Paya Nahu. Kerajaan Negeri akan baik pulih kos pembaikan sebuah rumah tu dalam RM10,000" Kata Sanusi dalam Sidang Media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara MBI dan syarikat milik kerajaan (GLC) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) di Wisma Darul Aman Alor Setar.

Sebelum ini Sanusi berkata Pegawai Daerah dan Pegawai di pejabat Tanah Kuala Muda sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan. 

Namun apabila Mahkamah Tinggi sudah membuat penghakiman Kerajaan Negeri tidak lagi boleh campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem pentadbiran tidak membenarkan perkara itu.

Mengenai pampasan, Sanusi berkata Kerajaan Negeri tidak menjanjikan sebarang bentuk pampasan kepada mereka.

Media Baharu