Penduduk Kampung Luagan, Sikim dipindahkan ke PPS

PPS di daerah Sipitang

SIPITANG, 28 Februari – Penduduk di Kampung Luagan dan Kampung Sikim berdepan detik cemas apabila air naik secara mendadak sehingga memasuki kediaman mereka, sekali gus memaksa pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk Kampung Luagan dan Kampung Sikim dipindahkan ke PPS selepas air naik mendadak memasuki rumah.
  • Sesetengah mangsa menangguhkan pulang kerana keadaan masih tidak selamat dan lokasi kampung jauh.
  • Penduduk berharap pihak berkuasa sediakan penempatan baharu dan lot tanah, terutamanya untuk Kampung Sikim.

Seorang penduduk yang ditemui RTM, Jariah Yunus, 81 tahun berkata, air naik dengan begitu pantas sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan banyak barangan.

“Kami dipindahkan sebelah petang, tetapi air tiba-tiba sudah naik hingga ke bawah kolong rumah. Saya hanya sempat mengambil barang-barang yang diletakkan di bahagian bawah sebelum memindahkannya ke atas,” katanya.

Sementara itu, Metti Lamit, 49 tahun, memaklumkan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke rumah demi keselamatan.

“Air seperti surut sedikit tetapi kami terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke rumah. Mungkin esok, kerana keadaan masih tidak selamat. Tambahan pula kampung kami di Luagan agak jauh,” jelasnya.

Bagi Assan Yusup, 63 tahun, beliau berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan penempatan baharu khususnya bagi penduduk Kampung Sikim yang paling terjejas.

“Harapan kami, jika boleh diwujudkan perkampungan baharu untuk pemindahan dan diberikan lot tanah. Rumah yang ada sekarang pun sudah tidak kukuh,” katanya.

Sipitang merupakan antara empat daerah terjejas banjir di Sabah selain Tenom, Beaufort dan Menumbok.