
DUNGUN, 15 Januari – Penduduk Kampung Dendang di sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang matahari yang dilaporkan berkeliaran di sekitar kawasan kebun sejak kira-kira seminggu lalu.
- Penduduk bimbang kehadiran beruang matahari yang berkeliaran sekitar kebun sejak kira-kira seminggu lalu.
- Beruang menyebabkan kerosakan tanaman, termasuk pokok kelapa, menjejaskan sumber pendapatan pekebun.
- Penduduk hidup cemas; ada yang pulang lebih awal atau berhenti ke kebun sementara waktu demi keselamatan.
- PERHILITAN dipanggil; perangkap dipasang dan pekebun dinasihatkan elakkan kebun pada waktu petang.
Kehadiran haiwan liar berkenaan bukan sahaja menyebabkan kerosakan tanaman, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pekebun dan penduduk setempat.
Menurut penduduk, beruang tersebut dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran dan sering muncul pada waktu petang serta malam untuk mencari makanan.
Situasi itu menyebabkan penduduk hidup dalam keadaan cemas, lebih-lebih lagi apabila haiwan berkenaan dilihat berkeliaran berhampiran kawasan rumah.
Selain ancaman keselamatan, penduduk turut mengalami kerugian apabila tanaman seperti pokok kelapa dimusnahkan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan harian mereka.
Akibat kebimbangan tersebut, sebahagian pekebun terpaksa pulang lebih awal dari kebun, malah ada yang mengambil keputusan untuk tidak ke kebun buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko terserempak dengan haiwan liar berkenaan.
“Memang kami bimbang kerana beruang itu sering berada berhampiran kawasan rumah penduduk. Ia berkeliaran di sekitar kampung dan menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk,” kata Mohd Saufi Abdullah.
“Kehadiran beruang di kebun boleh mengancam keselamatan kami selain menyebabkan kerugian. Pokok kelapa yang telah bertahun-tahun diusahakan dan sedang berbuah rosak dan mati secara tiba-tiba,” jelas Mohd Fauzi Mustafa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata aduan berkaitan kejadian tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, PERHILITAN telah memasang perangkap di kawasan terlibat dan pekebun turut dinasihatkan supaya tidak berada di kawasan kebun pada waktu petang sebagai langkah keselamatan.