fb fb fb fb fb

Penduduk di kawasan berisiko banjir perlu patuh arahan pihak berkuasa, ambil langkah wajar

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 19 November - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua penduduk terutama yang berada di kawasan berisiko banjir mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Ini susulan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan sehingga esok.

Ahmad Zahid turut meminta supaya penduduk sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Saya berdoa dan berharap agar keadaan banjir ini dapat dielakkan dan penduduk terhindar dari musibah kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda," kata Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca itu yang melibatkan seluruh Terengganu, manakala beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai bermula semalam.

Selain itu, MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan, Kedah, Perak, Pahang dan Sabah dalam tempoh sama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN