KUALA LUMPUR, 17 November- Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Malaysia kekal tidak mengiktiraf Israel bukti negara konsisten dengan dasar luar sebagai sebuah negara berpendirian.
Penganalisis Geopolitik dan Hubungan Antarabangsa Dr. Zokhri Idris bependapat, ketegasan itu seiring dengan hasrat rakyat yang mahukan kebebasan kepada Palestin.
"Sebenarnya menunjukkan keberlangsungan dan berterusan Malaysia dalam memperjuangkan perkara ini dan sentiasa cakna peka menjaga hubungan bilateral dengan Palestin.
"Kita meningkatkan ketegasan kita, bangkangan terhadap tindakan Israel ke atas penduduk Palestin baru-baru ini," katanya ketika dihubungi RTM.
Terdahulu Perdana Menteri dalam persidangan kemuncak Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru menegaskan, Malaysia satu-satunya negara secara terbuka membangkitkan isu Palestin walaupun tema utama perbincangan tersebut adalah berkaitan ekonomi dan perdagangan.
"Umpamanya pada Sidang APEC di Lima, Peru, Perdana Menteri satu-satunya pemimpin negara yang membicarakan soal Palestin serta penindasan kezaliman ke atas negara itu.
"Walaupun saya tahu tajuk perbincangannya ekonomi dan perdagangan namuan ia ada perkaitan dengan ekonomi dan perdagangan bebas sekiranya dinafikan satu pihak," katanya lagi.