fb fb fb fb fb

Pendidikan TVET wajar jadi pilihan lepasan SPM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BEIJING, 30 Mei- Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) boleh dijadikan pilihan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 khususnya yang kurang cemerlang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 250,000 peluang ditawarkan di institusi TVET seluruh negara bagi menyambung pengajian.

"Saya seru kepada ibu bapa, pelajar jangan putus asA, TVET jawapan kepada kejayaan. TVET terima pelajar-pelajar yang gagal dan tidak ambil SPM. Ini bukan beerti tvet merupakan peluang kedua atau ketiga, tetapi ini peluang kedua kerana pembelajaran dalam tvet 70 peratus di bengkel dan 30 peratus di dalam kelas.

"Melalui penghantaran pelajar TVET di China, Sistem di kelas 20 peratus dan 80 peratus di bengkel atau makmal," katanya selepas menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) antara UniKL dan Universiti di China serta Alibaba Cloud di sini.

Dalam pada itu, bagi pelajar SPM 2023 yang berjaya; sebanyak 220 pihak industri di China menawarkan 5,125 tempat bagi melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata selain berpeluang mempelajari TVET di China yang dibiayai sepenuhnya, inisiatif itu juga dilihat menuju ke arah golongan pekerja mahir untuk memperoleh gaji premium apabila pihak industri China yang melabur di Malaysia akan mengambil mereka bekerja.

Beliau berkata pengajian dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri di China, dan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersetuju untuk membiayai tiket penerbangan.

"Tawaran latihan ini juga telah bermula dan kita telah hantar 850 pelajar Malaysia, dan selebihnya akan bermula pada bulan ini hingga 2025 secara berperingkat," katanya sambil menambah kos pembiayaan keseluruhan bagi jangka pendek sahaja bernilai RM30 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI