
PUTRAJAYA, 23 Februari – Pendekatan Whole of Nation terus menjadi teras dalam memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat ditangani secara menyeluruh dan berimpak tinggi menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta serta masyarakat.
- Pendekatan Whole of Nation diperkukuh untuk tadbir urus kesihatan lebih tersusun, holistik dan berimpak tinggi.
- Penurunan kes denggi dan kematian dicatat; pencegahan diteruskan melalui inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD).
- Tumpuan berterusan atasi malpemakanan kanak-kanak melalui kerjasama kerajaan, ibu bapa dan komuniti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional (JKKN) yang dipengerusikannya hari ini menandakan fasa baharu tadbir urus kesihatan negara melalui integrasi agenda utama kesihatan nasional di bawah satu kerangka strategik yang lebih tersusun dan holistik.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut dimaklumkan bahawa Malaysia mencatatkan penurunan ketara kes denggi sebanyak 54.7 peratus pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, jumlah kematian akibat komplikasi denggi turut menunjukkan penurunan.
“Walaupun pencapaian ini memberangsangkan, usaha pencegahan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) serta penglibatan aktif masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan berterusan terhadap usaha menangani beban malpemakanan kanak-kanak melalui kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan komuniti.
Langkah tersebut penting bagi memastikan generasi masa depan membesar dalam keadaan sihat dan sejahtera.
“Kesihatan adalah pelaburan terpenting negara. Insya-Allah, usaha memperkukuh sistem kesihatan nasional akan terus diperkasa demi membina Malaysia yang lebih sihat, produktif dan sejahtera,” katanya lagi.