Pendekatan penilaian peranti perubatan berteraskan nilai perlu diperkukuh

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Februari – Pendekatan penilaian peranti perubatan berteraskan nilai perlu diperkukuh bagi menyokong keputusan dasar penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu memperkukuh penilaian peranti perubatan berteraskan nilai untuk sokong dasar penjagaan kesihatan menyeluruh.
  • Penilaian harus melibatkan impak terhadap pesakit, hasil, maruah dan peluang kesihatan, bukan hanya kos.
  • Gunakan bukti dunia sebenar dan hasil maklumat pesakit untuk menyokong penilaian yang lebih holistik.
  • Padukan keputusan penilaian dengan laluan akses jelas dalam ekosistem penilaian teknologi kesihatan Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, penilaian teknologi kesihatan tidak seharusnya tertumpu kepada kos dan keberkesanan klinikal semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira impak terhadap pesakit dan sistem penjagaan kesihatan.

“Sistem penjagaan kesihatan yang benar-benar mengutamakan rakyat mesti mengukur nilai dengan cara yang mencerminkan kehidupan rakyat.

“Ia bukan sekadar kos, tetapi juga hasil, maruah dan peluang untuk masa depan yang lebih sihat,” katanya ketika berucap melancarkan Kertas Putih “Enhancing the Assessment of Medical Devices in Malaysia: A Comprehensive Value-Based Approach” di sini, hari ini.

FOTO BERNAMA

Datuk Hanifah berkata, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penuaan penduduk memerlukan pendekatan penilaian lebih holistik selari dengan perkembangan teknologi kesihatan.

Beliau turut menekankan kepentingan bukti dunia sebenar dan hasil maklumat pesakit bagi menyokong proses penilaian lebih menyeluruh, di samping mengaitkan keputusan penilaian dengan laluan akses yang jelas.

“Ekosistem Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia yang diterajui oleh MaHTAS adalah mantap, berwibawa dan berteraskan bukti. Ia telah berfungsi dengan baik dalam memastikan keselamatan, keberkesanan dan tanggungjawab fiskal,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan kekal komited terhadap dasar berasaskan bukti dan keadilan dalam penyampaian penjagaan kesihatan.