ALOR SETAR, 10 April- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, pendekatan integrasi yang bertunjangkan persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana aman dan harmoni.
"Marilah kita mensyukuri akan nikmat kerana dapat hidup di Malaysia dalam keadaan aman dan harmoni di kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.
"Kesepakatan dan hidup bersatu padu di dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa perlu dititikberatkan", titah Baginda.
Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 1445H/2024, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut menyeru individu yang bukan beragama Islam agar mengambil peluang dan kesempatan di hari lebaran untuk kunjung-mengunjung dan ziarah menziarahi di antara rakan-rakan dan teman-teman yang beragama Islam agar keharmonian hidup bermasyarakat dapat dikekalkan.
Baginda turut menyeru umat Islam supaya mengambil peluang yang ada untuk bermaaf-maafan agar keharmonian hidup dalam kalangan ahli keluarga dapat dikekalkan.
Dalam titah ucapan sama, Baginda turut menasihatkan rakyat agar berhati-hati ketika memandu dan tidak memandu dalam keadaan yang berbahaya.
Dalam pada itu, Sultan dan Sultanah Kedah serta seluruh keluarga Diraja Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada para petugas beruniform yang sanggup meninggalkan keluarga di kampung halaman demi melaksanakan tugas untuk keselamatan dan keharmonian rakyat di Negeri Kedah dan Malaysia dapat dicapai.