
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Pendedahan awal dan berstruktur kepada generasi muda mengenai kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilihat sebagai langkah strategik dalam membentuk kefahaman kukuh serta memperkasa peranan mereka sebagai pemacu utama pembangunan negara pada masa hadapan.
- Pendedahan awal dan berstruktur STEM membina kefahaman kukuh serta mempersiapkan generasi muda jadi pemacu pembangunan negara.
- Usaha gabungan kementerian, MOSTI dan pendidikan membuka laluan kerjaya berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing pelajar.
- Program seperti National STEM Expo menghubungkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan industri untuk mempertingkatkan kesedaran dan minat.
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal, usaha itu diyakini mampu membuka lebih banyak laluan kerjaya berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing pelajar dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan yang dipacu teknologi dan inovasi.
“Pendekatan baru melalui Kementerian Pendidikan, dan kerjasama kita di MOSTI. Program hari ini untuk kita mendedahkan anak-anak muda kita ke arah perlunya mereka faham dan minat kepada sains sebab melalui sains inilah kita nampak ada masa depan dari segi kerjaya itu.
“Akan tetapi kita juga tidak boleh menafikan bahawa kita berdepan dengan kekurangan minat dalam kalangan pelajar. Kekurangan minat ini juga menyebabkan ramai pelajar tidak mengambil jurusan bidang sains di peringkat universiti.
“Ini akhirnya menyebabkan ramai keluaran graduan kita menjadi pengganggur sebab peluang pekerjaan itu terhad,” katanya selepas Majlis Perasmian Pembukaan Dan Perasmian Penutup Program National Stem Expo (NSE) 2026, di ibu negara hari ini.
Persatuan Stem Malaysia menganjurkan Program National STEM Expo 2026 merupakan anjuran Persatuan Stem Malaysia yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, serta industri teknologi untuk pertingkatkan kesedaran masyarakat umum.
Ekspo berkenaan berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan menghimpunkan pelajar, pendidik, dan pemain industri dengan memfokuskan pemerkasaan STEM.