fb fb fb fb fb

Pendedahan aktiviti ceroboh tanah tanam durian hasil tinjauan udara

FOTO BERNAMA

KUANTAN, 29 November- Aktiviti penanaman durian secara haram dikesan di kawasan Sungai Perdak, Mukim Sabai, Bentong hasil daripada tinjauan udara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata aktiviti pencerobohan tersebut dikesan dilakukan di kawasan tengah hutan.

"Saya kebetulan meninjau dari udara. Di tengah-tengah hutan, saya tengok ada ladang durian dan saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang siasat lebih lanjut dan memberikan laporan."

"Kemudian kita dapati aktiviti itu dilakukan secara haram dan tindakan penguatkuasaan terus diambil. Kita buat keputusan bukan setakat kompaun tetapi akan membawa mereka ke mahkamah, kita tidak akan berkompromi, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Menurutnya, Kerajaan negeri memandang serius isu pencerobohan tanah kerajaan dan komited untuk menangani isu yang menyalahi undang-undang itu.

"tindakan pendakwaan di mahkamah perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan kerajaan negeri memastikan pencerobohan tanah haram sifar yang membabitkan aset kerajaan di Pahang,"katanya.

Rabu lalu, media melaporkan ladang durian yang ditanam secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri di kawasan Sungai Perdak diserbu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).

Tindakan itu dibuat susulan penemuan aktiviti pencerobohan yang membabitkan kira-kira 400 hektar tanah kerajaan di kawasan terbabit.

Selain, menyita rumah pekerja dan peralatan yang ditemui, UPNP juga telah diarah memusnahkan pokok-pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan itu bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku. 

Trainee