fb fb fb fb fb

Pendaratan cemas pesawat SIA: 9 rakyat Malaysia cedera dirawat

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Seramai sembilan daripada 16 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pendaratan kecemasan pesawat Singapore Airlines (SIA), penerbangan SQ321 dari London ke Singapura pada petang Selasa sedang menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.

Kementeri Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi kenyataan berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital yang berkenaan serta sedang menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

"Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

"Menurut kedua-dua hospital, semua mangsa rakyat Malaysia yang terlibat mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dan seorang rakyat Malaysia mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil," menurut kenyataan itu.

"Rakyat Malaysia yang cedera berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan.

Kementerian Luar Negeri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar semua mangsa yang cedera cepat sembuh dari insiden yang malang itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di alamat kedutaan di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok atau melalui talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat) dan e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Insiden itu menyebabkan seorang lelaki Britain berusia 73 tahun, maut.

ROSLINA BINTI DIN