fb fb fb fb fb

Pendang, daerah terbaru dilanda banjir

Foto APM Pendang

KUBANG PASU, 6 Oktober- Pendang menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan sebuah PPS dibuka iaitu PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang dibuka pada pukul 6.00 petang tadi.

Ia sekali gus menjadikan jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah malam ini meningkat kepada 229 orang berbanding 162 orang petang tadi.

Di Pendang, ia melibatakan 48 penduduk terjejas banjir daripada 11 keluarga. Mereka dipindahkan ke PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, petang tadi.

Mereka dari lima kampung iaitu Kampung Sungai Mati, Kampung Banggol Besi, Belakang Pondok Tanah Merah, Kampung Belakang Pendang dan Kampung Seberang Pendang.

Sementara itu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun menempatkan seramai 181 penduduk daripada 58 buah keluarga.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, pecahan di PPS berkenaan melibatkan 60 lelaki dan 58 perempuan dewasa, 29 kanak-kanak lelaki dan 31 kanak-kanak perempuan, serta tiga bayi lelaki.

Kesemua penduduk merupakan dari Kampung Paya Lantau, Kampung Paya Nongmi, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh, dan Kampung Padang Halban.

Manakala sebahagian lagi penduduk dari Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato’ Kemara, dan Kampung Kubang Kayu.

PPS SMK Changlun dibuka lewat malam semalam selepas kediaman penduduk yang kebanyakannya terletak di tepi sungai dan tali air serta di kawasan rendah dimasuki air.

Ia berpunca daripada hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dengan cepat.

Pada masa sama penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan tepi sungai serta berisiko dilanda banjir diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan situasi semasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI