Pendakwah bebas dicekup SPRM, didakwa salah guna jawatan

Pendakwah bebas itu disyaki bersubahat menyalahgunakan jawatannya untuk meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.

SUNGAI PETANI, 5 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pendakwah bebas kerana disyaki bersubahat menyalahgunakan jawatannya untuk meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.

Perintah reman selama sehari terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani pagi tadi.

Suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an telah ditahan tangah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing merupakan Pengarah Urusan Syarikat dan Ketua Jabatan Kewangan dan Perakauan disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar September 2018.

Suspek utama seorang lelaki dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya bersama suspek kedua, seorang wanita dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi yang lain.

Siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM telah bermula sejak Oktober tahun lalu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dengan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan