
KUALA LUMPUR, 28 Januari – Pendaftaran murid Tahun Satu bagi Kalender Akademik Tahun 2027 akan dibuka secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac depan.
- Pendaftaran Tahun Satu untuk Kalender Akademik 2027 dibuka dalam talian dari 15 Februari hingga 31 Mac.
- Permohonan melalui Sistem Bersepadu KPM (idMe) di https://idme.moe.gov.my bagi warganegara Malaysia.
- Kohort sasaran: enam tahun (lahir 2021) dan tujuh tahun (lahir 2020).
- Kemasukan enam tahun adalah sukarela tanpa ujian saringan; rujuk portal KPM, JPN atau PPD untuk maklumat lanjut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan pendaftaran dibuat menerusi Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) melalui laman rasmi https://idme.moe.gov.my dan terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia dalam kohort enam dan tujuh tahun.
Kohort enam tahun (5+) melibatkan kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021, manakala kohort tujuh tahun (6+) pula melibatkan kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.
Menurut beliau, pelaksanaan itu selaras dengan keputusan kerajaan yang membenarkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 secara sukarela tanpa perlu menduduki ujian saringan.
“Ibu bapa dan penjaga disarankan mendaftar akaun Sistem Pengurusan Identiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi serta mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran boleh diperoleh melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Inisiatif menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu dilihat sebagai langkah progresif dalam memastikan perkembangan, kesejahteraan serta akses pendidikan yang lebih menyeluruh kepada kanak-kanak.