fb fb fb fb fb

Pendaftaran sistem PADU tidak akan ditangguh - Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 Januari - Proses pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan ditangguhkan memandangkan beberapa isu teknikal yang dibangkitkan telah segera diselesaikan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada waktu ini kita dapati sistem terbabit berjalan dengan lancar. Malah, isu yang dibangkitkan berjaya diselesaikan dalam masa sangat singkat dan pemantauan mengenai aspek keselamatan terus dilakukan," katanya pada sidang media, di sini.

Fahmi mengulas gesaan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming, agar kerajaan menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Tambah Fahmi, isu teknikal dan keselamatan khususnya data peribadi, sentiasa dititikberatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta pasukan PADU dan Jemaah Menteri turut dimaklumkan tentang keselamatan siber yang menjadi keutamaan dalam sistem PADU itu.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata langkah segera telah diambil untuk menyelesaikan isu berbangkit pendaftaran sistem PADU.

Ini termasuk penggunaan nombor kad pengenalan untuk pembatalan serta penukaran kata laluan.

Beliau berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, 233,782 pengguna berdaftar dengan sistem PADU.

Daripada angka itu, 118,115 pengguna telah selesai proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital).

Manakala 71 peratus, dengan pengesahan e-KYC.

Mengenai kecacatan dan kelemahan dalam sistem itu, Rafizi berkata maklumat pengemaskinian boleh dilaksana sejurus selepas daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC bagi melicinkan proses.

Justeru, beliau berkata setiap individu digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain, bagi memudahkan proses perakuan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN