SINTOK, 18 Januari- Jumlah rakyat negeri Kedah yang hadir ke kaunter untuk mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) semakin meningkat dan menjadikan jumlah sehingga Rabu mencecah 74,315 orang.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kedah, Nadia Marzuki berkata, pihaknya optimis angka itu akan terus menunjukkan peningkatan menerusi pendekatan dilaksana DOSM termasuk siri jelajah ke kaunter pendaftaran PADU di negeri itu.
Pada masa kini, pendaftaran PADU di Kedah mencapai kadar 5 peratus daripada 1.5 juta penduduk yang berusia 18 tahun ke atas.
“Walaupun pendaftaran PADU ini bukan diwajibkan kerajaan, di peringkat DOSM, kami akan terus menyantuni masyarakat luar bandar menerusi siri jelajah ke 77 kaunter yang disediakan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di daerah-daerah di Kedah. Aktiviti itu dapat membantu komuniti yang tidak mempunyai masalah capai internet untuk mendaftar PADU.
“Saya optimis kerana sejak awal kaunter dibuka sehingga semalam, penduduk yang datang untuk mendaftar mencecah lebih 1,000 orang dan angka ini akan terus meningkat kerana rakyat memahami manfaat dan tujuan PADU ini kepada mereka,” jelas Nadia selepas menyampaikan taklimat berkaitan PADU sempena Hari Terbuka Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Selain itu, DOSM turut meminta penduduk di Kedah untuk terus membantu menghebahkan program pendaftaran PADU bagi membolehkan lebih ramai memahami kepentingan PADU ini.
Ini kerana, DOSM menyedari dua faktor yang memperlahankanpendaftaran PADU di Kedah iaitu masalah capaian internet dan masih ramai tidak tahu mengenai inisiatif PADU.
Bagi memudahkan komuniti luar bandar khususnya, 15 PEDi dijadikan sebagai kaunter PADU di daerah-daerah negeri Kedah, manakala pendaftaran turut boleh dibuat di Ibu Pejabat DOSM di Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi.
Menurut Nadia, rakyat Kedah yang mahu mendaftar PADU diminta membawa salinan kad pengenalan ketua dan ahli isi rumah termasuk yang berusia bawah 18 tahun.
Maklumat lain yang diperlukan ketika mendaftar adalah akaun bank dan pendaftaran PADU boleh dibuat sehingga 31 Mac depan.