fb fb fb fb fb

Pendaftaran MyDigital ID dijangka meningkat suku kedua 2025

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 4 Mac- Kadar pendaftaran MyDigital ID dijangka akan meningkat pada suku kedua tahun ini disokong beberapa strategi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ke arah itu, sistem prapendaftaran akan dilaksana iaitu rakyat Malaysia seawal usia 12 tahun akan didaftarkan secara automatik menerusi sistem MyDigital ID.

"Untuk meningkatkan angka ini, strategi yang kita bincang dalam mesyuarat ialah JPN akan membuat prapendaftaran ke atas rakyat Malaysia apabila dia mencapai umur 12 tahun atau ketika MyKad seseorang individu hilang, jadi ia akan terus didaftar.

"Kita harap menjelang suku kedua tahun ini akan berlaku peningkatan bagi pendaftaran ini supaya membolehkan kita untuk melakukan transaksi dengan menggunakan log masuk tunggal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Iftar Menteri Dalam Negeri Bersama Media di sini.

Setakat ini hanya 1.8 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar menerusi MyDigital ID sejak ia dilancarkan pada tahun lepas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI