fb fb fb fb fb

Pendaftaran kelahiran palsu,buruh kontrak didenda RM3,000

IPOH, 18 Mei - Padah membenarkan penyataan palsu pendaftaran kelahiran seorang bayi dibuat dua tahun lalu, seorang pekerja kontrak didenda RM3,000.

Hukuman dijatuhkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus terhadap Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.


(Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, mengaku bersalah)

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ridzuan didapati membenarkan untuk dibuat catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh kira-kira jam 11 pagi pada 10 September 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Hisam Saruddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh.

Media Baharu