Pencemaran Sungai Sayong: JAS Johor tahan pengurus dan operator kilang sawit

JAS Johor tahan pengurus dan operator kilang sawit susulan pencemaran Sungai Sayong

JOHOR BAHRU, 27 Januari – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, menahan pengurus dan operator sebuah kilang sawit susulan pencemaran Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAS Johor menahan pengurus dan operator kilang sawit disiasat bawah Seksyen 37(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
  • Siasatan teknikal mendapati sistem pengolahan efluen kilang gagal berfungsi, menunjukkan pelanggaran serius.
  • Pencemaran kedua kali menjejaskan sumber pendapatan penduduk kampung dan mengurangkan hasil tangkapan ikan.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, menerusi kenyataannya berkata kedua-dua lelaki berusia 40-an itu disiasat di bawah Seksyen 37(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Penahanan dibuat hasil pengembangan siasatan dan penjejakan sepanjang alur sungai, yang mengenal pasti punca pencemaran disyaki dari kilang beroperasi di Layang-Layang, Kluang.

Siasatan teknikal di premis mendapati sistem pengolahan efluen kilang gagal berfungsi dengan baik, menunjukkan pelanggaran serius.

Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) turut dilaksana mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ia bagi menghentikan operasi yang menyebabkan pencemaran serta memastikan pematuhan sepenuhnya premis berkenaan.

Dalam pada itu, pencemaran Sungai Sayong Pinang kali kedua sejak 31 Oktober lalu menjejaskan sumber pendapatan penduduk kampung yang bergantung kepada sungai berkenaan.

Pencemaran dikesan sejak dua hari lalu apabila air yang pada awalnya jernih bertukar hitam, dan ikan mati ditemui di beberapa kawasan.

Ketua Kampung Sayong Pinang, Tok Batin Majid Jantan berkata, ia disedari nelayan yang turun ke sungai, melihat air berubah warna terutama di bahagian hulu sungai.

“Orang kampung ada membuat aduan, saya turun sungai memang air itu hitamlah, tetapi tidak teruk seperti dahulu, sumber pendapatan kiranya buat masa ini ikan itu memang adalah tetapi tidak seperti dahulu, memang ikan berkurang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang nelayan Orang Asli, Nordin Undan berkata kejadian yang berlaku itu nyata menjejaskan pendapatan mereka.

“Kira selepas tempoh kedua selepas lumpur semalam, memang terjejas teruklah sebab kami mencari ikan di sungai,” ujar beliau.

Penduduk berharap kejadian berulang itu dapat dihentikan demi memastikan kelestarian sungai yang menjadi nadi kehidupan mereka.