Sungai Petani, 11 Oktober- Dua premis diberi notis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas didapati melakukan pencemaran bau berulang.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, pihaknya telah melakukan pemantauan berkaitan pencemaran alam sekitar pada 10 Oktober lalu.
Pemantauan itu dijalankan di sekitar Bukit Banyan dan Bukit Selambau berikutan aduan awam yang diterima mengenai bau kurang menyenangkan yang kerap pada lewat malam hingga awal pagi.
"Susulan siasatan yang dilakukan, JAS Kedah mengeluarkan dua notis arahan terhadap dua premis terbabit bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974." katanya.
Premis terbabit adalah sebuah premis yang menghasilkan arang, terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau dan sebuah premis kitar semula, di sini.
JAS mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat.
Orang ramai diseru untuk bekerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727 dan http:/eaduan.doe.gov.my.