KUALA LUMPUR, 4 Disember- Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi anggota tentera yang masih hilang Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi masih diteruskan.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya ketika melaksanakan Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak.
"Kejadian berlaku pada 30 November sekitar pukul 8.00 pagi, satu laporan telah diterima memaklumkan bahawa terdapat sembilan anggota dipercayai dibawa arus dalam kejadian Kepala Air semasa melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand.
"Dalam kejadian tersebut dua anggota didapati hilang iaitu Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, merupakan anggota dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka.
"...dan Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi, adalah anggota dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing manakala tujuh lagi anggota ditemui selamat sekitar pukul 12.30 tengah hari pada hari yang sama," menurut kenyataan itu.
Namun pada 1 Disember kira-kira pukul 6.00 petang Pasukan SAR menemukan Mohd Afandi di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup dan disahkan meninggal dunia.
Jenazah Mohd Afandi diterbangkan ke kampug Jamerong dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada pukul 8.45 malam (3 Disember).
Sementara itu usaha pencarian Ahmad Zulhilmi masih diteruskan oleh tujuk pasukan SAR terdiri daripada lima pegawai dan 112 anggota lain-lain pangkat dari pasukan 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 22 Komando bermula dari tempat kejadian menyusuri sepanjang Sungai Perak.
Pada masa sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mohd Afandi.
"Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya.