LABUAN, 17 Februari- Pesuruhjaya Sukan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mengesyorkan kepada persatuan sukan khususnya di Labuan untuk memperkasakan pelan strategik masing-masing.
Ini membolehkan persatuan sukan merangka program jangka panjang dengan penglibatan kerjasama Majlis Sukan Labuan dan Jabatan Belia dan Sukan.
Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias berkata kerjasama itu mewujudkan satu sinergi yang baru terhadap perkembangan sukan yang lebih pesat dan sihat di pulau ini.
Selain itu, mengulas mengenai tadbir urus yang baik melibatkan akauntabiliti, penghantaran pelaporan dan juga maklumat memberikan nilai tambah terhadap penarafan bintang.
Di samping itu, pihaknya turut memperkenalkan dua aspek baharu tahun ini yang juga memberikan parameter penarafan bintang yang lebih baik iaitu penglibatan wanita sebagai pemegang jawatan di dalam persatuan sukan dan juga penglibatan wanita di dalam penganjuran program persatuan tersebut.
“Kami juga menitikberatkan tentang compliance terhadap kod sukan selamat, sekiranya persatuan itu mempunyai compliance terhadap kod sukan selamat mereka akan mempunyai beberapa parameter yang membolehkan mereka mendapat markah yang lebih baik dalam penarafan bintang,” katanya ketika ditemui pada majlis Townhall Pesuruhjaya Sukan Malaysia bersama badan sukan di Labuan.
Tambah beliau persatuan sukan yang mempunyai penarafan bintang yang baik akan menarik lebih banyak penajaan untuk menaja program persatuan tersebut.