KUALA TERENGGANU, 5 Februari - Penantian 25 tahun seorang pemuda daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Hazbillah Rasid, 37, untuk mendapatkan kad pengenalan berakhir apabila menerima dokumen itu menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Lebih istimewa, kad pengenalan itu diserahkan sendiri Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh kepada ibunya, Siti Meriam Ngah, 64, di kediaman mereka di Kampung Kubang Tepak Manir, di sini hari ini.
Siti Meriam berkata anak kelima dari enam beradik itu mula diserang sawan akibat demam panas ketika berusia tiga bulan dan dikategorikan sebagai OKU.
"Anak hanya mempunyai Sijil Kelahiran sahaja dan akibat tidak mempunyai kenderaan dahulu, saya tidak mampu membawanya mendapatkan kad pengenalan di JPN.
"Saya dan keluarga dapat tahu mengenai program Mekar dan anak-anak mengambil inisiatif membuat permohonan pada tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Ruslin berkata program Mekar JPN adalah satu program turun padang berkaitan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan Sijil Kelahiran kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Ini pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan," katanya.