Penang 2030 COOP Grant agih RM215,000 geran ke koperasi

(Majlis penyerahan Coop Grant bernilai RM10,000 disempurnakan
oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman)

SEBERANG JAYA, 10 Mei- Bantuan Penang 2030 COOP Grant berupaya menyokong program pembangunan dan pemerkasaan gerakan koperasi di negeri Pulau Pinang.

Setakat ini, sebanyak 74 buah koperasi telah menerima manfaat sejak ia dilancarkan pada Februari 2021.

Kerajaan Pulau Pinang telah menyediakan RM450,000 kepada koperator dalam sektor pembangunan mikro dan makro.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM215,000 telah dilulus dan diagihkan kepada 23 buah koperasi yang layak setakat ini.

“Geran yang diberikan adalah untuk membantu gerakan koperasi dalam kluster mikro dan juga kecil untuk meningkatkan pendapatan dan juga perniagaan koperasi dan kami fokus kepada koperasi yang kecil agar koperasi-koperasi ini dapat meningkatkan lagi atau mengembangkan lagi perniagaan koperasi,”kata Norlelah Samsuddin, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Pulau Pinang.

Majlis penyerahan COOP Grant bernilai RM10,000 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang.

Bantuan Penang 2030 Coop Grant akan meliputi dua fasa kategori, iaitu bagi tujuan infrastruktur atau sebagai modal pusingan.

Walau berdepan dengan pelbagai cabaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun, koperator di Pulau Pinang kini memasuki fasa baru yang lebih dinamik dan sentuhan Madani kerajaan Pulau Pinang sedikit sebanyak akan menyantuni aktiviti sektor koperasi di negeri ini.