fb fb fb fb fb

Penahanan peguam: SPRM nafi campur tangan, siasatan berasas

Fokus siasatan adalah di bawah Akta SPRM 2009 serta pecah amanah dan bukannya untuk mendapatkan maklumat daripada anak guam.

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak campur tangan dalam penahanan peguam berkaitan siasatan kes penyelewengan kutipan dana Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC).

SPRM dalam kenyataan berkata, dakwaan sekumpulan hak asasi manusia Lawyers of Liberty (LFL) bahawa SPRM berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang (interference with the right of the public to legal representation) adalah tidak berasas.

Menurut SPRM, suruhanjaya itu menerima aduan daripada penduduk sebuah kawasan di Damansara pada hujung Mei lepas mengenai dana kutipan pengurusan dan penyelenggaraan oleh pihak JMC itu yang dipercayai telah diseleweng.

"Hasil siasatan awal mendapati ada asas disyaki berlakunya perkara tersebut berdasarkan laporan berkaitan kos guaman oleh pihak JMC berkenaan yang tidak diisytiharkan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, SPRM telah melancarkan satu operasi pada 4 Jun lepas dan pihak yang disyaki terlibat telah ditahan dan direman bagi maksud siasatan kerana beliau merupakan antara suspek utama," katanya.

Menurut suruhanjaya itu, fokus siasatan adalah di bawah Akta SPRM 2009 serta pecah amanah dan bukannya untuk mendapatkan maklumat daripada anak guam.

“Oleh yang demikian, tidak timbul isu pihak penguat kuasa campur tangan atau berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang seperti yang didakwa LFL," katanya.

Jelasnya lagi, seorang pegawai SPRM, berdasarkan maklumat bahawa ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki sesuatu kesalahan di bawah akta ini telah berlaku boleh memasuki atau memecah buka mana-mana premis, mencari, menyita dan mengambil milik apa-apa buku, dokumen, rekod akaun atau data dan menahan mana-mana orang yang ditemui dalam premis.

“SPRM berpandangan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang sedang disiasat seolah-olah bertujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Sebagai agensi penguat kuasa antirasuah utama negara, SPRM tidak akan tunduk kepada sebarang usaha untuk menghalang atau mengganggu siasatan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN