PENA sokong titah YDPA mengenai kepentingan bahasa Melayu

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim/Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 21 Januari — Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PENA menyokong titah YDPA menegaskan kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  • Ketegasan Seri Paduka perlu kerana wujud pihak yang mencabar kedudukan bahasa Melayu.
  • Menjunjung Perlembagaan dan Rukun Negara penting untuk menjaga keharmonian dan kestabilan negara.
  • Sistem pendidikan mesti mengutamakan bahasa Melayu; penolakan bahasa itu tidak sesuai dalam negara ini.

Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, ketegasan Seri Paduka Baginda amat mendesak dalam situasi semasa apabila wujud pihak tertentu yang berani mencabar kedudukan bahasa Melayu.

Beliau menegaskan bahawa negara yang berdaulat mempunyai Perlembagaan yang mesti dihormati.

“Provokasi oleh segelintir pemain politik sehingga mencabar Perlembagaan boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara. Jangan jadikan bahasa Melayu sebagai alat tawar-menawar dalam percaturan kuasa,” tambahnya.

Saleeh berkata, penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong juga selari dengan ideologi negara yang ditegakkan melalui Rukun Negara.
“Mencabar ‘pasak negara’ negara hanya akan menyebabkan ketidakstabilan di negara ini,” ujarnya.

Terdahulu, semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Sultan Ibrahim bertitah bahawa sistem pendidikan negara ini mesti mengutamakan bahasa Melayu jika mahu dibuat perubahan sekali pun.

Menurut baginda, orang yang tidak mahu menerima bahasa Melayu perlu meninggalkan negara ini.