fb fb fb fb fb

PENA sokong tindakan kerajaan tangani isu Jalur Gemilang

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

KUALA LUMPUR, 23 April- Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyatakan sokongan terhadap sebarang langkah penyelesaian yang diambil kerajaan berhubung paparan Jalur Gemilang tanpa imej bulan sabit pada muka hadapan akhbar berbahasa cina tempatan, baru-baru ini.

Presiden PENA Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, setiap tindakan yang diambil perlu berlandaskan undang-undang serta akta sedia ada.

"Kita harus menangani perkara ini dengan teliti dan berpandukan undang-undang. Siasatan mesti dijalankan secara menyeluruh dan adil, tanpa dipengaruhi sentimen peribadi atau unsur perkauman," menurut Mohamad Saleeh dalam satu kenyataan.

Sebarang kesalahan berkaitan penerbitan bahan bercetak boleh disiasat bawah Akta 414 iaitu Akta Lambang (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta 301, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Tindakan memperlekehkan Jalur Gemilang sebagai simbol rasmi negara boleh dianggap sebagai cubaan mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat," tegas beliau.

Jalur Gemilang merupakan lambang identiti rakyat Malaysia dan setiap unsur yang ada termasuk imej, jalur, serta warna membawa makna tersendiri.

Maka, tindakan mencabar simbol ini, lebih-lebih lagi melalui media utama, dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat perpaduan dan keharmonian negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar di semua sekolah bawah pentadbiran kementerian itu.

"Langkah ini dilihat sebagai pendekatan jangka pendek yang baik untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan pelajar serta masyarakat umum.

"Namun, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan mempertahankan prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Mohamad Saleeh juga meluahkan kebimbangan terhadap pengabaian prinsip Rukun Negara yang kini semakin dilupakan.

"Bukan sahaja tidak dilafazkan dalam majlis rasmi, malah penghayatannya juga kian menipis. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak dihormati dan ada pihak yang berani menghina pemimpin negara serta institusi Raja-Raja Melayu," jelas beliau.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI