fb fb fb fb fb

Pemunyaan benefisial, lebih 340,000 syarikat serah simpan maklumat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial (beneficial ownership) bagi tempoh 1 April hingga 14 Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 telah dibuka dari 1 April lepas hingga 30 September ini dengan fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi tidak akan dikenakan.

"Melalui peruntukan baharu yang diperkenalkan, individu yang memenuhi kriteria pemunya benefisial ini hendaklah melaporkan status mereka kepada syarikat dan syarikat pula perlu menyimpan maklumat tersebut serta melaporkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebelum 30 September 2024," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Armizan, mana-mana syarikat atau pegawai yang melanggar undang-undang tersebut, akan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dan denda tidak melebihi RM20,000.

Katanya, dalam hal kesalahan yang berterusan, boleh dikenakan selanjutnya tidak melebihi RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

"Syarikat dalam sektor peruncitan turut diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan, termasuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial kepada SSM," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN