
KUALA LUMPUR, 31 Januari –Pendekatan pemuliharaan bangunan-bangunan warisan disifatkan selari dengan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
- Pemuliharaan bangunan warisan selari dengan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Bangunan sejarah, seperti Sultan Abdul Samad, mencerminkan identiti negara dan akar sejarah.
- Bangunan warisan perlu dihidupkan sebagai ruang pendidikan, pemersatu dan inspirasi generasi akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bukan sahaja dikenali melalui keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, malah melalui kekuatan naratif sejarah serta peradaban yang membentuk identiti negara.
“Saya yakin Bangunan Sultan Abdul Samad dan keseluruhan kompleks bersejarah ini akan terus menjadi cerminan identiti negara.
“Sebuah negara yang maju dan progresif, namun tidak terputus daripada akar sejarahnya; membangun bukan sahaja dengan kekuatan ekonomi, tetapi dengan jiwa, nilai dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 di ibu negara.
Datuk Seri Anwar juga berkata setiap bangunan warisan perlu terus dihidupkan sebagai ruang untuk mendidik, menyatukan serta memberi inspirasi kepada generasi masa kini dan pewaris masa hadapan.