Pemulihan infrastruktur minyak dan gas dijangka ambil masa lama

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 8 April Kesan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat masih dirasai walaupun gencatan senjata sementara selama dua minggu diumumkan, dengan kerosakan prasarana tenaga di negara-negara Teluk dijangka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri dan Majlis Tindakan Ekonomi membincangkan pemulihan prasarana tenaga selepas pembentangan kenyataan Perdana Menteri.
  • Pemulihan tangki penyimpanan, paip gas dan minyak, serta fasiliti pemprosesan dijangka mengambil masa beberapa bulan hingga beberapa tahun.
  • Situasi di Selat Hormuz terus menjejaskan pergerakan bekalan tenaga global dengan ribuan kapal masih terperangkap.
  • Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menstabilkan bekalan demi kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan kenyataan berkaitan perkembangan gencatan senjata tersebut.

“Jemaah Menteri dan juga Majlis Tindakan Ekonomi difahamkan bahawa tempoh masa untuk membaik pulih prasarana ini termasuk sama ada tangki-tangki penstoran, paip-paip yang digunakan untuk menyalurkan sama ada gas mahupun minyak mentah, dan fasiliti-fasiliti bagi memproses minyak mentah akan mengambil masa ada yang mungkin dalam masa beberapa bulan ke beberapa tahun untuk pulih sepenuhnya”. katanya dalam sidang media mingguan dan taklimat harian di Putrajaya.

Selain itu, situasi di Selat Hormuz juga masih memberi kesan kepada pergerakan bekalan tenaga global apabila ribuan kapal dilaporkan masih terperangkap di laluan strategik tersebut.

“Selat Hormuz sebelum ini dalam satu-satu hari terdapat lebih 200 kapal yang akan keluar masuk dan kita dimaklumkan setakat ini masih terdapat lebih kurang 2,000 kapal yang terperangkap di Selat Hormuz,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan memberi keutamaan kepada usaha memastikan isu bekalan dapat ditangani dengan baik demi kepentingan rakyat Malaysia.