DUBAI, 29 Mac - Malaysia berada dalam landasan tepat kearah proses pemulihan ekonomi.
Tegas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tekanan untuk mengadakan pilihanraya umum selagi belum tiba masanya dikhuatiri boleh menjejaskan usaha yang dilakukan kerajaan.
"Kalau negara berada dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, yang paling teruk terkesan adalah rakyat golongan B40. Kumpulan peniaga kecil dan sederhana mereka paling terkesan akibat daripada apa yang berlaku. Tiada kestabilan politik sudah tentu tidak ada kestabilan ekonomi," Ismail berucap pada majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia di sini.
Selain usaha memulihkan ekonomi, negara juga perlu mendepani cabaran pandemik COVID-19.
Justeru dengan pelaksanaan pemberian vaksin yang kini telah mencapai lebih 98 peratus rakyat dewasa menerima suntikan, pelbagai sektor telah dibuka.
Malah tidak lama lagi pintu sempadan negara juga akan dibuka yang akan merancakkan kembali pemulihan ekonomi.
Dengan lebih 4,000 rakyat Malaysia yang kini berada di Qatar, beliau bangga dengan penerimaan negara itu terhadap mereka sekali gus membuktikan keyakinan terhadap tahap profesionalisme dan kemahiran yang ada.
(Hampir 200 rakyat Malaysia hadir sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di sini)
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui hubungan Malaysia dengan negara luar agak jauh akibat penularan COVID-19.
Justeru sebagai permulaan merapatkan kembali hubungan itu, ia telah bermula dengan negara ASEAN dahulu.
"Jadi yang bersempadan dengan kita seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand selesaikan dulu. Dan negara ASEAN lain di Kemboja, kerana Perdana Menteri dia (mereka) merupakan pengerusi ASEAN . Satu lagi adalah Vietnam kerana kita punyai hubungan dagangan agak besar," katanya lagi.
Kemudian disusuli pula dengan negara Asia Barat seperti Qatar dan seterusnya Emiriyah Arab Bersatu (UAE).