RAUB, 10 Februari- Mayat seorang pemuda yang dikhuatiri lemas tujuh hari lalu di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh, Batu Talam, Raub, Pahang ditemukan kira-kira pukul 1.00 petang tadi.
Ahmad Khairul Nizam Sudin berusia 22 tahun ditemukan tertimbus dengan pasir di dasar sungai pada jarak satu kilometer dari kawasan mangsa dikhuatiri lemas.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, mangsa berjaya ditemukan dengan bantuan petunjuk lokasi oleh orang kampung.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin membuat pencarian dengan menggunakan teknik menyelamat di permukaan air dan teknik "skin dive" di lokasi sehingga membawa penemuan mangsa.
"Mangsa dinaikkan ke darat pada pukul 1.25 petang dan telah dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut," kata Wan Ahmad Fadillah.
Pada Selasa minggu lalu, mangsa dilaporkan lemas ketika mandi bersama abangnya yang berusia 23 tahun.
Namun mangsa dilaporkan telah hanyut manakala abangnya ditemui selamat dan hanyut bersama bot fiber pada hari sama.