fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas tergelincir jeti

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada keesokan harinya

KEMAMAN, 6 Disember - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kemaman ketika sedang memeriksa bot miliknya di jeti Kampung Geliga Che Akob di sini pada Jumaat.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu mangsa, Muhammad Anuar Syhukrimi Mahmood, 31 tahun dikatakan dihanyutkan arus deras semasa air pasang besar. 
  
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli memaklumkan, ketika kejadian mangsa dipercayai pergi ke jeti berkenaan bersama adiknya dan seorang rakan.
 
Rakan mangsa yang gagal menemukan lelaki itu selepas melakukan pencarian di sekitar kawasan sungai membuat laporan di Balai Polis Chukai pada pukul 2 petang keesokan hari.
 
"Kita sedang meneliti kes ini untuk mencari puncanya, kenapa laporan polis lewat dibuat dan sebagainya, bagaimanapun usaha pencarian telah digerakkan dengan kerjasama pihak bomba dan polis. Pencarian dilakukan di sepanjang sungai," katanya.

Menurut beliau, rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal sebelum mangsa dihanyutkan arus ke tengah sungai sebelum hilang.
 
Operasi pencarian di permukaan air dilakukan pada jarak satu kilometer ke arah Kuala Kemaman dan sekitar lokasi kejadian.
 
Sehingga pukul 6.00 petang Sabtu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, ketika kejadian berlaku air pasang besar setinggi 3.7 meter.

Pihak bomba mengerahkan 17 anggota ke lokasi kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.26 petang Sabtu.

Selain pihak bomba dan polis, operasi SAR turut dibantu 33 orang awam.

MASNIZA AWANG KECHIK