fb fb fb fb fb

Pempengaruh diingat tidak keterlaluan dalam hasilkan kandungan- Fahmi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Pempengaruh media sosial diingatkan agar tidak keterlaluan dalam menghasilkan kandungan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pempengaruh juga perlu mengambil kira kesan kandungan terhadap masyarakat dan negara.

"Pempengaruh yang menghasilkan kandungan untuk penonton mereka, nasihat saya adalah berpada-pada. Jangan keterlaluan.

"Biarlah kita mengambil ibrah atau pengajaran daripada apa yang telah berlaku untuk memperbaiki, mungkin cara kita menghasilkan kandungan," katanya ketika ditemui media dalam Tinjauan Pemasangan Wi-fi di Universiti Malaya (UM) di sini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai seorang pempengaruh yang tular baru-baru ini di luar negara, Fahmi berkata tindakan susulan dan sebarang siasatan akan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu.

"Sekiranya ia melibatkan badan-badan penguatkuasaan, maka kita serahkan kepada badan-badan tersebut untuk lakukan siasatan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata capaian internet di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ditingkatkan melalui pemasangan 3,149 titik akses Wi-fi di tiga universiti awam.

Fahmi berkata, inisiatif itu diambil bagi memperluas liputan internet di kampus, kolej dan universiti.

Katanya, daripada jumlah tersebut 1,837 titik akses Wi-fi dipasang di empat fakulti dan satu kolej kediaman di UM, manakala selebihnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Jumlah kos yang telah diperuntukkan ialah RM11.6 juta dan semua titik akses di kesemua universiti terlibat dalam fasa pertama ini telah disiapkan pada 5 Februari seperti yang disasarkan," kata Fahmi.

Tambah Fahmi, bagi fasa kedua, 31,173 titik akses Wi-fi akan dipasang bermula Mac depan, melibatkan 14 IPTA, 24 Politeknik dan 43 Kolej Komuniti seluruh negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM